SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

10 Februari 2011

RANG UNDANG-UNDANG MAJLIS KONSULTASI GAJI KEBANGSAAN DIPERKENAL

Bernama
10/2/2011



PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Rang Undang-undang Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, pada sesi Parlimen sebelum Jun ini, kata menteri berkenaan Datuk Dr S Subramaniam.

Katanya rang undang-undang itu bertujuan menyelaraskan dan menetapkan gaji minimum pekerja sektor swasta di negara ini dan mewujudkan majlis untuk menentukan kadar gaji minimum berpatutan kepada pekerja mengikut setiap sektor dan kawasannya.

"Akta ini akan memberi kuasa kepada kementerian dan majlis untuk membuat apa yang perlu bagi menetapkan dan menyelaraskan gaji di negara ini," katanya pada sidang media selepas meninjau Makmal Gaji Minimum, di sini hari ini.

Katanya makmal yang berlangsung sejak Isnin lalu hingga Isnin depan memperincikan peranan dan skop majlis selaras dengan aspirasi kerajaan meningkatkan gaji minimum pekerja mengikut arus perkembangan negara.

Selain lapan pakar dari Bank Dunia, ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat, Exco kerajaan negeri, wakil persatuan pekerja, wakil majikan, badan bukan kerajaan, ahli akademik universiti tempatan turut dijemput untuk memberi pandangan.

Satu forum untuk orang ramai memberikan pandangan akan diadakan pada Sabtu ini di Tingkat 18, Menara Perkeso, Jalan Tun Razak, bermula pukul 2.30 hingga 4.30 petang.

Mengikut kajian Bank Dunia, trend gaji di negara ini hanya mencapai peningkatan 2.6 peratus setahun dalam 10 tahun kebelakangan ini, meskipun kos hidup rakyat di negara ini terus meningkat.

Subramaniam berkata kajian Kementerian Sumber Manusia 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Katanya kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500-RM550, tekstil RM500-RM600, perabut RM550-RM700, plastik RM550-RM650 dan sarung tangan getah RM500-RM650.

Oleh itu, kata Subramaniam penyelarasan dan penetapan gaji baru perlu dilakukan bagi memastikan rakyat di negara ini tidak ketinggalan dalam hala tuju negara.

Berhubung gaji pokok pengawal keselamatan, Subramaniam berkata kementerian sudah memaklumkan kepada Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) supaya melaksanakan skim gaji pokok minimum baru iaitu RM700 bermula 15 Feb ini.

"Kita sudah memaklumkan kepada PPKKM dan berharap persatuan itu akan buat secepat mungkin, kalau mereka tidak buat kita akan menghubungi mereka," katanya.

Kerajaan, katanya tidak lagi membenarkan pengambilan pekerja asing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bilangan sedia ada kurang daripada 5,000 pekerja, kebanyakannya terdiri daripada warga Nepal.

Subramaniam turut menafikan dakwaan bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia yang masuk ke negara ini adalah banyak seperti dahulu.

"Tidak benar bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia adalah seperti dahulu. Kerajaan kedua-dua negara masih mengadakan perbincangan dan harap dapat mencari penyelesaian segera," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: