SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

18 Ogos 2013

SKIM PENJAWATAN 18,000 KAKITANGAN KEMAS DIKAJI

 Utusan Malaysia
18/8/2013


KOTA BHARU 18 Ogos - Hanya 900 daripada lebih 18,000 orang kakitangan Kemas yang berkhidmat di seluruh negara berjawatan tetap dan selebihnya merupakan kakitangan kontrak.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hassan Mohd. Amin berkata, meskipun jabatan itu telah terbukti banyak berjasa membangunkan modal insan negara sejak 1961, kakitangannya yang bertaraf tetap di peringkat negeri dan daerah mempunyai gred gaji yang rendah berbanding pegawai kerajaan jabatan lain.
Sehubungan itu, katanya, Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mengarahkan usaha segera dilakukan bagi memastikan kepentingan dan kebajikan kakitangan Kemas ditingkatkan ke arah yang lebih baik.
Beliau berkata, rundingan telah dimulakan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kini memasuki fasa akhir untuk menstruktur semula pentadbiran dan skim perjawatan Kemas yang kali terakhir dilakukan lebih 10 tahun lalu.
"Kakitangan kontrak kita ada yang telah berkhidmat lebih 20 hingga 30 tahun dengan beban tugas pelbagai tetapi mereka tidak ada kemudahan pencen, pinjaman, perubatan dan sebagainya yang seharusnya dinikmati sedangkan mereka juga penjawat awam.
"Dalam masa sama, kita juga mahu JPA melihat semula skim gaji untuk pegawai kita di peringkat daerah yang walaupun bertaraf tetap tetapi berada dalam gred rendah, kalau boleh gaji pegawai yang mengetuai jabatan di daerah yang besar dan berkompleksiti tinggi dinaik taraf sampai peringkat kumpulan A," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kemas Kelantan 2012 kepada 115 kakitangan Kemas negeri di Dewan Besar, Bahagian Teknologi Pendidikan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pemangku Pengarah Kemas Kelantan, Motada Ismail.
Kesemua penerima anugerah menerima sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM1,000 setiap seorang.
Pada majlis itu juga, Hassan telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM7,700 daripada Kelab Kebajikan Kemas Putrajaya kepada Nor Asikin Abdul Rahman, seorang guru Tabika Kemas Kampung Rahmat, Rantau Panjang yang kehilangan tiga anak sekali gus akibat mati lemas di Sungai Golok baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hassan memberitahu, pihaknya menyasarkan kesemua guru di lebih 11,000 tabika dan hampir 400 taska kelolaan Kemas mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya diploma menjelang 2015.
Beliau berkata, setakat ini hampir 4,000 guru sedia ada dalam perkhidmatan Kemas telah berjaya mendapat diploma pendidikan awal kanak-kanak setelah dihantar mengikuti kursus dalam cuti (KDC) selama tempoh tiga tahun sembilan bulan di Institut Pendidikan Guru (IPG) bermula 2006.

Tiada ulasan: