SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA

30 Julai 2013

BONUS HANYALAH SEDIKIT GANJARAN KHIDMAT SETIA KAKITANGAN AWAM

SAYA tertarik dengan tulisan Ahmad Shukeri dari Kelana Jaya, Selangor, yang tersiar di ruangan ini pada 24 Julai 2013. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati tentang Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang dikatakan asyik minta bonus untuk kakitangan kerajaan.
Saya sebagai kakitangan kerajaan mohon supaya Ahmad Shukeri faham bahawa bonus yang diterima setiap tahun oleh kakitangan kerajaan hanya setengah bulan gaji sahaja, tetapi dibayar dua kali iaitu pada Hari Raya Puasa dan pada tahun baharu. Ini bermakna setahun kakitangan kerajaan hanya dapat bonus sebulan gaji sahaja.
Adakah bonus setengah bulan gaji yang dibayar itu tinggi, melampau dan keterlaluan seperti mana pendapat anda jika dibandingkan dengan skim gaji staf bank-bank di Malaysia, Petronas, dan lain-lain syarikat yang besar?
Percaya atau tidak jika saya katakan ada syarikat di Malaysia yang membayar sehingga lapan bulan gaji sekali gus sebagai bonus? Malah pernah satu ketika mereka dibayar sehingga 12 bulan gaji. Apalah jika nak dibandingkan dengan setengah bulan gaji tapi dibayar dua kali dalam setahun?
Sebagai kakitangan kerajaan kami perlukan sedikit wang semasa hari lebaran bagi memeriahkan suasana dengan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan di mana semua harga barang telah meningkat.
Tolong jangan buat perbandingan dengan petani, penoreh getah dan peniaga kecil kerana mereka bukan kakitangan kerajaan. Mereka adalah orang awam dan berbeza dengan kakitangan kerajaan.
Saya berharap Ahmad Shukeri faham apa yang saya maksudkan. Bonus yang dibayar hanyalah sedikit ganjaran di atas khidmat setia yang diberi oleh kakitangan kerajaan sehingga Malaysia mampu hidup mewah seperti hari ini. Tanpa kakitangan kerajaan siapalah Malaysia.

25 Julai 2013

PM UMUM BANTUAN RM500 KEPADA PENJAWAT AWAM

Sinar Harian
25/7/2013


Najib Tun RazakKUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54. Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.
Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.
Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.
"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.
Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.
Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.
"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.
Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

CUEPACS ASYIK MINTA BONUS

Utusan Malaysia
24/7/2013


SAYA tertarik dengan kenyataan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berhubung tuntutan supaya kerajaan memberi pertimbangan bonus dua setengah bulan termasuk pendahuluan sebanyak setengah bulan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam.
Saya yakin jika kerajaan meluluskannya, tentunya penjawat awam yang telah bersara juga akan menerima limpahannya.
Saya terpanggil untuk memberi komen berhubung tuntutan pemberian bonus tersebut. Semasa saya berada dalam kerajaan dahulu, saya memang melihat diri saya sahaja yang perlu diberi bantuan kerana saya anggap gaji saya kecil.

Semasa berada dalam kerajaan juga, kebanyakan yang rapat, saya kenal dan temui adalah sesama kakitangan kerajaan. Oleh itu saya tidak berapa faham masalah dan kesulitan yang dihadapi oleh orang lain. Setelah bersara kira-kira 14 tahun lalu baru saya berkesempatan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.Saya sempat berkenalan dan mendalami kehidupan rakyat biasa seperti nelayan, petani, penoreh getah, pemandu teksi, peniaga warung dan sebagainya.Kalau sebelum ini sebagai penjawat awam saya merasa pendapatan sentiasa tidak mencukupi, rupa-rupanya para nelayan, petani, penoreh getah bahkan peniaga kecil pun begitu juga. 

Bahkan mereka lebih teruk lagi. Saya insaf dan merasakan kehidupan sebagai penjawat awam sebenarnya adalah jauh baik dan lebih terjamin.
Sumber pendapatan dan kehidupan mereka yang saya sebutkan tadi banyak bergantung kepada cuaca. Kalau hujan dan ombak besar nelayan tidak turun ke laut. Petani dan penoreh getah juga sukar untuk ke ladang atau menoreh getah.Kalau hujan orang lebih selesa duduk di rumah. Oleh itu, pemandu teksi sukar untuk mendapat ramai pelanggan. Tambahan pula bilangan teksi di seluruh negara terlalu banyak, terutama di Kuala Lumpur.Peniaga warung juga tidak dikunjungi ramai pelanggan. Ini bermakna sumber pendapatan mereka turut terjejas.

Keadaan ini berbeza dengan penjawat awam. Tidak kira hujan lebat atau ribut apabila cukup bulan dapat gaji. Gaji tidak pernah berkurangan. Bahkan setiap tahun akan bertambah kerana kenaikan gaji. Ini tidak termasuk kemudahan pinjaman perumahan dan kereta yang disediakan oleh kerajaan dengan kadar bayaran bunga yang kurang. Potongan bulanan dari gaji sangat kecil. Rakyat biasa, termasuk kakitangan swasta terpaksa membayar kadar bunga yang tinggi kepada bank.

Jika hendak dikira, walau banyak mana sekalipun pendapatan, masih tidak mencukupi. Ini kerana nafsu manusia tidak terhad. Semua kita hendak beli. Kadang-kadang kita berlumba dengan orang lain. Apa jiran beli kita pun hendak beli. Kita sanggup bergolok bergadai kerana hendak membeli sesuatu tanpa mengira kemampuan kewangan walaupun barang itu kadang-kala kurang diperlukan.Yang ada kredit kad akan menggunakan semaksimum yang boleh. Tidak hairan puluhan ribu rakyat negara ini yang diisytihar muflis sebab gagal membayar hutang. Ini semua gara-gara berbelanja mengikut nafsu dan tidak mengukur kemampuan kewangan sendiri, pada hal peribahasa Melayu ada mengingatkan kita, ukur baju di badan sendiri. Bermakna, kita hendaklah berbelanja mengikut jumlah pendapatan kita.

Apa yang saya sebutkan di atas ada kaitannya dengan tindakan CUEPACS yang saban tahun meminta bonus daripada kerajaan. Setiap kali menjelang pembentangan bajet negara, CUEPACS akan membuat tuntutan yang sama iaitu pemberian bonus tahunan dan elaun hari raya. Pemimpin-pemimpin CUEPACS kena belajar bertanya rakyat biasa di tepi jalan, apa komen mereka terhadap tuntutan yang dibuat setiap tahun?

Kalau hendak tahu biarlah saya beritahu, mereka sebenarnya sangat tidak suka. Sebagai contoh, saya turunkan apa yang seorang sahabat saya kata melalui SMS tentang tuntutan CUEPACS: "Masalahnya ketua CUEPACS tu asyik dok lobi. Kadang-kadang rasanya kerja dia tak ada lain, cuma minta bonus, naik gaji, imbuhan dan lain-lain pembayaran. Dari segi idea tak ada dan produktiviti tak nampak meningkat."
Rakyat kurang bersuara. Tetapi hakikat sebenarnya begitulah. Mereka tidak puas hati dan tidak suka dengan tuntutan CUEPACS. Macam tiada lain yang hendak diminta. Yang anehnya tidak pula kedengaran dan kalau ada pun jarang-jarang, kakitangan syarikat swasta yang membuat tuntutan sedemikian kepada majikan mereka. Apakah mereka itu tidak merasa kesempitan kewangan? Atau mereka ada prinsip?
Sepuluh tahun lalu memang gaji kakitangan swasta lebih tinggi dibandingkan dengan penjawat awam. Sebab itu ramai penjawat awam yang berhijrah bekerja dengan pihak swasta. Keadaan sekarang adalah sebaliknya. Gaji sesetengah kakitangan kerajaan adalah jauh lebih baik dibandingkan dengan swasta sejak semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Penjawat awam harus berterima kasih kepada beliau.
Rakyat bukan marah CUEPACS membuat tuntutan tetapi biarlah berpatutan. Jangan terlalu banyak. Janganlah dibuat setiap tahun. Kalau dibuat pun jangan dihebohkan sangat. Tambahan pula, kedudukan kewangan negara harus diambil kira.
Perbelanjaan negara untuk pembangunan yang semakin meningkat juga tidak harus dilupakan. Kerajaan bukan hendak menjaga kebajikan penjawat awam sahaja. Kerajaan juga perlu menjaga kebajikan rakyat lain.
Sebab itu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan untuk meringankan beban rakyat. Dalam hal ini, kakitangan kerajaan yang gajinya di bawah RM3,000 telahpun menerima nikmatnya. Kemudahan lain yang disediakan untuk rakyat termasuklah Kedai Satu Malaysia, Klinik Satu Malaysia, pemberian tayar kepada pemandu-pemandu teksi dan sebagainya.
Saya terfikir kata-kata bekas Presiden Amerika, Abraham Lincoln ada kewajarannya: "Jangan fikir apa negara boleh beri kepada kita. Fikir apa yang kita boleh beri kepada negara."
Justeru sebagai sebuah kesatuan pekerja CUAPACS perlu menggalakkan ahli-ahlinya supaya memikirkan apa sumbangan yang boleh diberi untuk meningkatkan kualiti kerja, bukan menjadi juara membuat tuntutan itu dan ini. Seolah-olah pemimpin-pemimpinya menggunakan isu tuntutan bonus kepada kerajaan untuk menjadi popular dan dilihat sebagai pejuang!
Jika kos yang semakin tinggi dijadikan alasan untuk menuntut bonus yang tinggi, CUEPACS harus ingat bahawa bukan penjawat awam yang berjumlah 1.4 juta orang sahaja yang terlibat.
Kesemua 27 juta rakyat Malaysia di pelbagai lapisan hidup di seluruh negara turut terlibat. Ini termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mungkin ramai tidak sedar, pemberian bonus kepada penjawat awam turut mendorong peniaga-peniaga menaikkan harga barangan sebab menganggap kakitangan kerajaan mendapat durian runtuh.
Sekiranya kerana jasa berkhidmat kepada kerajaan dijadikan alasan oleh CUEPACS untuk menuntut bonus yang tinggi, jangan lupa, sebenarnya semua rakyat negara ini juga berjasa kepada kerajaan dan negara, mengikut kapasiti dan kategori tugas masing-masing. Ini termasuklah kakitangan swasta, pemandu pelancong, tukang sampah di tepi jalan, tukang bersih tandas, pemandu bas, atlet negara, pendakwah dan lain-lainnya.
Atau apakah kerana penjawat awam mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 baru-baru ini menyebabkan CUEPACS merasa berhak mendapat bonus? Jangan lupa rakyat Malaysia yang lain juga mengundi.
Mengundi adalah tanggungjawab setiap rakyat. Mereka bukan sahaja mengundi bahkan juga menyokong Barisan Nasional (BN). Jika tidak mana mungkin BN memenangi 133 kerusi dan terus kekal memerintah negara. Dalam konteks ini, ada yang bertanya: "Betulkah semua penjawat awam mengundi menyokong kerajaan?"
Untuk mengelak tuntutan bonus oleh penjawat awam ini dipolitikkan, ada baiknya jika kerajaan membuat ketetapan awal mengenai kadar bonus yang akan diberikan setiap tahun. Contohnya pemberian bonus satu bulan gaji. Jika kedudukan kewangan positif, kadar itu boleh ditambah. Jika tidak penjawat awam akan kekal dibayar mengikut kadar yang ditetapkan. Dengan cara ini CUEPACS tidaklah perlu merengek setiap tahun kerana mereka sudah tahu kadar bonus yang akan diterima setiap awal tahun.

AHMAD SHUKERI
Kelana Jaya, Selangor

PENJAWAT AWAM, PESARA UCAP TERIMA KASIH PEMBERIAN BANTUAN KHAS KEWANGAN


Bernama
24/7/2013


KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pemberian Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan raya kepada penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ia membuktikan kerajaan menghargai dedikasi dan sumbangan penjawat awam serta jasa golongan pesara kepada negara.

"Pemberian ini pasti memberi keceriaan dan kegembiraan kepada penjawat awam khasnya yang berpendapatan sederhana bagi membuat persiapan Aidilfitri yang bakal tiba," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kenyataan hari ini, mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan itu yang akan dibuat pada 31 Julai ini kepada penjawat awam daripada Gred 1 hingga Gred 54 serta pesara kerajaan.

Omar turut berharap kerajaan menimbang pemberian bonus kepada penjawat awam ketika pembentangan Belanjawan 2014.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Wilayah Persekutuan Datuk Nik Mohamad Kamil Nik Daud berkata pemberian itu adalah 'durian runtuh' buat pesara kerajaan.

"Kita hanya jangka pemberian seperti ini pada akhir tahun. Sekarang bukan sahaja Felda dapat bantuan kewangan hari raya tetapi pesara dan penjawat awam juga dapat," katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, beliau berkata bantuan khas itu sedikit sebanyak meringankan beban pesara dalam menghadapi kenaikan harga barangan.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan, keprihatinan kerajaan memberi bantuan menjelang musim perayaan seharusnya disyukuri warga penjawat awam.

"Kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih prihatin untuk memberi bantuan, terutama ketika Aidilfitri bakal menjelma," katanya.

"Rezeki yang diterima ini kita belanjalah mengikut kemampuan, jangan berlebihan sehingga memudaratkan ekonomi keluarga," katanya.

Hashim berkata penjawat awam juga tidak harus kecewa dengan kadar bantuan yang dihulurkan, lebih-lebih lagi tahun ini menyaksikan kenaikan gaji sebanyak dua kali seperti yang diumum Perdana Menteri.

"Kadang-kadang kita lupa ada negara yang langsung tak dapat apa-apa, makanan pun tak ada, atau negara tidak stabil seperti di Mesir.

"Sebaliknya kita di Malaysia masih mampu menerima bantuan daripada kerajaan, kita perlu bersyukur negara kita aman dan tidak menjejaskan ekonomi serta perjalanan hidup seharian," katanya.

-- BERNAMA

IKLAN JAWATAN KOSONG PENOLONG PENGURUS KOPERASI ( KOPERASI PENJAWAT AWAM 1 MALAYSIA)




KOPERASI PENJAWAT AWAM 1 MALAYSIA

Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.
Tel : 03 9285 6110, 9285 0281 Fax : 03 9285 9457



IKLAN JAWATAN KOSONG

Warganegara Malaysia terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau yang berdekatan dengannya yang berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup adalah dipelawa memohon untuk mengisi kekosongan jawatan di Ibu Pejabat Koperasi Penjawat Awam 1 Malaysia sepertimana yang dinyatakan dibawah ini

A.   PERIHAL JAWATAN :

NAMA JAWATAN
TARAF JAWATAN
GAJI PEMULAAN
PENOLONG PENGURUS KOPERASI
TETAP
RM 1,200.00

B.   SYARAT LANTIKAN

1. PENOLONG PENGURUS KOPERASI

(a)       Diploma dalam bidang Pentadbiran Awam / Pengurusan dan Perakaunan Koperasi / Pengurusan Perniagaan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi  Pengajian Tinggi Tempatan atau  Maktab Koperasi Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya,

(b)       Mempunyai ilmu dan pengalaman koperasi

(c)        Mempunyai kebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Malaysia / Bahasa
Inggeris .

          (d)         Keutamaan diberi kepada calon-calon yang mempunyai pengetahuan dalam
            gerakan koperasi .

(e)       Kepujian Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu ( termasuk lulus Ujian Lisan ) pada     
peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan,
( Keutamaan diberikan kepada calon yang berkebolehan mengendalikan komputer ),

(f)        Calon yang memiliki kelayakan di perenggan (a)(i) atau (ii) diatas hendaklah lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu termasuk lulus ujian lisan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

C : UMUR

1.         Calon bagi lantikan hendaklah berumur

a) Tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup.

b) Tidak lebih dari 54 tahun pada tarikh lantikan.

D : CARA PERMOHONAN

Tiada borang disediakan. Permohonan hendaklah menghantar terus resume kepada:

Setiausaha Kehormat
KOPERASI PENJAWAT AWAM 1 MALAYSIA BERHAD
Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.

E : TARIKH TUTUP PERMOHONAN

Resume yang telah lengkap hendaklah dihantar ke alamat di atas sebelum atau pada 5 Ogos 2013. Permohonan yang diterima selepas dari tarikh tutup iklan tidak akan diberi pertimbangan.

F : DOKUMEN SOKONGAN

Semua dokumen sokongan yang dilampirkan hendaklah disahkan salinannya. Salinan Asal dokumen sokongan hanya perlu dibawa semasa menghadiri temuduga sahaja.

24 Julai 2013

CUEPACS BANTAH BANK NEGARA PENDEKKAN TEMPOH PINJAMAN

Bernama
23/7/2013




 PETALING JAYA, 23 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah tindakan Bank Negara memendekkan tempoh pinjaman.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata tempoh yang diberikan bank berkenaan amat pendek dan boleh memudarat pekerja yang membuat pinjaman.

"Cuepacs berharap agar Bank Negara dapat melihat semula pekeliling itu sebelum pihak kami berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan perkara ini," kepadanya pemberita selepas bermesyuarat dengan Angkasa berhubung isu keberhutangan isi rumah rakyat Malaysia yang berkaitan dengan koperasi di sini Selasa.

Pada 5 Julai lepas, Bank Negara mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pinjaman peribadi dari 25 kepada 10 tahun, dan pinjaman perumahan kepada 35 tahun.

Omar berkata pekeliling itu sepatutnya memudahkan penjawat awam seperti mengurangkan kadar faedah agar dapat membantu mereka meringankan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau berkata antara tujuan penjawat awam membuat pinjaman peribadi adalah untuk pendidikan, bencana dan menyelesaikan hutang tertunggak.

"Sekarang ini umur 45 tahun baru nak beli rumah dan pada jangka 15 tahun lagi nak servis, alamatnya pencen nanti papa kedana," katanya.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata langkah Bank Negara memberi kesan kepada koperasi kredit dan pendapatan Angkasa kerana ia dianggotai penjawat awam.

"Pinjaman peribadi memang untuk kakitangan awam, jadi apabila pendapatan berkurangan, untung yang diperoleh pun kurang dan dividen yang diperoleh penjawat awam turut berkurangan serta menjejaskan pendapatan sampingan mereka," katanya.

Beliau berkata Angkasa turut berpendirian Bank Negara perlu menangguhkan pelaksanaan pekeliling berkenaan untuk dikaji semula demi kepentingan koperasi dan kakitangan awam.

Menjawab soalan lain, Omar mengulangi harapannya agar kerajaan menimbang untuk memberi bonus kepada kakitangan awam, termasuk menjelang Aidilfitri ini.



-- BERNAMA

21 Julai 2013

CUEPACS MAHU PENJAWAT AWAM LEBIH BERDIDIKASI LAKSANA TUGAS

Bernama
21/7/2013


KUALA BESUT, 21 Julai (Bernama) -- Penjawat awam digesa meningkatkan dedikasi selain ikhlas dalam melaksanakan tugas selaras dengan pelbagai kemudahan dan insentif yang diberi kerajaan kepada mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Datuk Omar Osman berkata mereka juga perlu mengubah minda daripada menumpukan perhatian terhadap tuntutan kebajikan kepada membantu kerajaan meningkatkan sistem penyampaian.

"Penjawat awam dituntut mahir dalam peranan mereka bagi membantu kerajaan yang telah banyak melayan pelbagai tuntutan yang dikemukakan yang tidak selalu diperoleh di negara lain," katanya kepda Bernama, di sini.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam agar menjalani pemeriksaan kesihatan apabila umur mencecah 40 tahun bagi memastikan mereka berada dalam keadaan yang terbaik untuk terus berkhidmat sehingga umur persaraan.

"Kita tidak mahu ada penjawat awam yang tidak sihat tetapi masih meneruskan perkhidmatan mereka sehingga 60 tahun yang pasti tidak akan membantu dalam meningkat prestasi perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA

20 Julai 2013

ANGKASA BINCANG DENGAN CUEPACS KESAN SYARAT BAHARU BANK NEGARA KEPADA PENJAWAT AWAM

Bernama
20/7/2013



 
ABDUL FATTAH ABDULLAH
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan berbincang dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi meneliti kesan syarat baharu pinjaman Bank Negara Malaysia (Bank Negara) kepada penjawat awam.

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata perbincangan itu dijadualkan pada Selasa depan untuk kajian terperinci bersama Cuepacs berhubung syarat mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun dan pembiayaan pembelian rumah 35 tahun untuk penjawat awam.

"Angkasa akan mengadakan perbincangan dengan Cuepacs terlebih dahulu bagi mengkaji lebih mendalam kesan syarat baharu Bank Negara ini kepada kakitangan awam. Kemudian, kita akan buat keputusan secara bersama yang mana boleh dikemukakan kepada kerajaan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Abdul Fattah berpendapat syarat baharu itu akan memberi bebanan kepada penjawat sekiranya tempoh pinjaman berkenaan dihadkan kerana mereka perlu membuat potongan gaji dalam jumlah yang besar berbanding sebelum ini selain memberi kesan kepada prestasi kewangan koperasi di bawah Angkasa.

"Bagi saya tidak berbangkit isu kakitangan awam tidak membayar hutang pinjaman sebab pinjaman mereka terkawal berdasarkan slip gaji termasuk ansuran bulanan pinjaman dibuat melalui potongan gaji.

"Kebanyakan anggota koperasi kredit di bawah Angkasa terdiri daripada penjawat awam dan kira-kira 800,000 penjawat awam membuat pinjaman peribadi dengan koperasi. Koperasi-koperasi memberi pinjaman kira-kira RM4.84 bilion," katanya.

Namun, Abdul Fattah menyambut baik langkah Bank Negara untuk mengatasi masalah hutang isi rumah ketika ini tetapi berpendapat menetapkan tempoh terhad kepada penjawat awam membuat bayaran balik pinjaman adalah tidak wajar.

"Saya bersetuju dengan Bank Negara untuk kurangkan jumlah hutang rakyat Malaysia tetapi bagi saya, perlu tengok kembali syarat ini...sepatutnya bukan penjawat awam," katanya.

Pada 5 Julai lepas, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan bank pusat itu menetapkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun manakala pembiayaan pembelian rumah 35 tahun untuk penjawat awam yang bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini yang berada pada paras 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

-- BERNAMA

19 Julai 2013

KERAJAAN KAJI PEMBERIAN BONUS UNTUK PENJAWAT AWAM - NAJIB

Bernama
17/9/2013



PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

"Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi," katanya pada persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan CUEPACS itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus.

-- BERNAMA

17 Julai 2013

BONIuS: CUEPACS POSITIF

Utusan Malaysia
17/7/2013



PUTRAJAYA 17 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menaruh harapan dan positif dengan pertimbangan kerajaan untuk memberi bonus dua setengah bulan termasuk pendahuluan perayaan Aidilfitri.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, beliau dalam masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia mempertimbang pemberian bonus kepada penjawat awam seluruh negara.
"Saya menerima banyak panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan mengenai perkembangan pemberian bonus.
"Saya nampak keadaan di bazar Ramadan dan pusat beli-belah tidak terlalu meriah lagi, pemberian bonus dan pendahuluan perayaan sudah pasti akan memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan isteri, Datuk Rohani Abdullah di sini malam ini.
Omar mengulas kenyataan Najib yang bersedia mempertimbang pengumuman khabar baik untuk penjawat awam sempena Aidilfitri.
Dalam pada itu, hampir 1,000 pegawai kerajaan, wakil kedutaan asing dan tokoh korporat menghadiri majlis berbuka puasa dengan KSN tersebut.
Antara tetamu yang yang hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Dalam majlis tersebut, sebanyak empat rumah anak yatim masing-masing menerima sumbangan RM10,000 daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita).

MASIH ADA HARAPAN PENJAWAT AWAM DAPAT BONUS - CUEPACS

Bernama
17/7/2013


PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman berpendapat masih ada harapan untuk lebih 1.4 juta penjawat awam menerima bonus menjelang Aidilfitri.
Ini berikutan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu yang memaklumkan kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang Aidilfitri, kata Omar.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan itu dan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

"CUEPACS mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi mempertimbangkan permohonan CUEPACS untuk 1.4 juta penjawat awam.

"CUEPACS yakin Perdana Menteri akan mempertimbangkan perkara ini. Saya rasa ada harapan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Puspanitapuri di sini.

CUEPACS sebelum ini masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Terdahulu hampir 1,000 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa Ketua Setiausaha Negara.

-- BERNAMA

16 Julai 2013

KENAIKAN HARGA MAKAN AYAM DORONG KENAIKAN HARGA AYAM DI PASARAN

Bernama
15/7/2016


KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak menolak kemungkinan kenaikan harga makanan ayam menjadi punca harga ayam naik mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga makanan ayam yang diimport dari Australia dan Thailand meningkat dari semasa ke semasa.

"Sektor ternakan ayam negara di bawah seliaan kementerian selama ini tidak mengalami sebarang masalah malah negara mampu mengeksport ayam ke Singapura," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat kementerian tersebut bersama Exco pertanian negeri di sini, Isnin.

Justeru, beliau berkata sudah tiba masanya negara menghasilkan bekalan makanan ternakan sendiri bagi membantu menyelesaikan masalah itu pada masa akan datang.

Beliau berkata Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sedang melaksanakan projek rintis dengan syarikat pengeluar makanan ternakan dari India untuk menghasilkan makanan ternakan berasaskan soya dan jagung.

"Projek rintis ini sedang dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan dijangka menghasilkan 20 tan metrik bekalan makanan ternakan tahun ini," katanya.

Beliau berkata jika projek ini berjaya, negara akan meminimumkan import bekalan makanan ternakan antaranya lembu, ayam, ikan patin dan kambing.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengajak 1.4 juta penjawat awam memboikot ayam supaya pembekal dapat menurunkan semula harga pasaran ayam kepada kadar berpatutan.

"Kenaikan harga ayam sehingga RM9.50 sekilogram setakat ini, melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM6.80 sekilogram adalah keterlaluan dan alasan menaikkan harga kerana bulan Ramadan dan hari raya sangat tidak munasabah," kata Presidennya Datuk Omar Osman pada sidang media di sini.

Selain itu, katanya skuad pengguna Cuepacs seramai 45,000 orang akan membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau harga barang basah dan kering di pasaran bagi membendung masalah kenaikan harga.

Dalam pada itu, Cuepacs sekali lagi memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada penjawat awam tahun ini dengan setengah bulan bonus diberikan sebelum menjelang Hari Raya agar dapat membantu meringkan beban berikutan kenaikan harga barangan pada masa kini.

Tinjauan Bernama di beberapa negeri pula mendapati harga ayam dan barang basah yang lain masih terkawal walaupun ada sedikit peningkatan harga berikutan permintaan tinggi di pasaran.

Di MELAKA, tinjauan di Pasar Besar Melaka Sentral mendapati harga ayam antara RM8.40 hingga RM8.50 sekilogram manakala ikan kembong (RM10 hingga RM11 sekilogram), cencaru (RM8 hingga RM9 sekilogram), pari (RM12.50 hingga RM15 sekilogram), sotong (RM10 hingga RM22 sekilogram) dan udang (RM15 hingga RM20 sekilogram).

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Melaka Muhabir Ibrahim berkata harga ayam masih terkawal dan pihaknya melakukan pemantauan harga setiap hari di semua pasar bagi memastikan harga yang dikenakan tidak membebankan pembeli.

Di KUALA TERENGGANU, harga ayam masih terkawal dan mengikut purata harga seluruh negara dan sehingga kini PDNKK negeri belum menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barang terutama ayam.

Pengarah Pejabat PDNKK Terengganu Syamsul Badrein Mohshin berkata pihaknya telah menggerakkan kesemua 81 anggota penguatkuasa di Besut, Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman untuk memantau paras harga barangan sepanjang Ramadan dan Syawal nanti.

Di ibu negara, harga ayam masih terkawal iaitu dijual antara RM7.50 sehingga RM8 sekilogram, manakala daging import antara RM14.50 sehingga RM16.50 sekilogram dan daging tempatan RM26 sekilogram.

Suri rumah Asmirawati Abdullah, 31, meminta peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan sewenang-wenangnya menjelang Aidilfitri agar tidak membebankan umat Islam.

Bagaimanapun, harga barang keperluan lain seperti timun, terung, tomato, kacang panjang, kubis dan cili merah tidak menentu kerana dipengaruhi faktor seperti iklim, kesegaran dan harga yang ditawarkan pembekal.

Di KOTA BAHARU, harga daging lembu meningkat secara mendadak kepada RM25 sekilogram berbanding antara RM18 hingga RM22 sekilogram sebelum Ramadan berikutan permintaan tinggi.

-- BERNAMA

15 Julai 2013

KERAJAAN BELUM BINCANG PEMBERIAN BONUS AIDILFITRI - KSN

Bernama
15/7/2013


PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus kepada 1.4 juta penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali untuk tahun ini sahaja.

"Itu juga boleh dianggap bonus, namun terpulang kepada kerajaan tetapi selalunya pemberian bonus pada hujung tahun dan bergantung kepada output, sekarang terlalu awal untuk membincangkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Ali berkata untuk tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi pemberian KGT selain penyelarasan gaji untuk skim-skim tertentu.

"Bagi bulan ini sahaja sebanyak enam skim akan ditambah baik dan 81 skim lagi pada November nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji sebelum Adilfitri yang dijangka disambut pada 8 Ogos ini.

Terdahulu, Ali merasmikan seminar bertajuk 'Meningkatkan Kualiti Kawal Selia dan portal 'Dasar Nasional Mengenai Pembangunan dan Pelaksanaan Kenyataan Impak Hubungan dan Kawal Selia'.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Minggu lepas, Cuepacs memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.

Pada 9 Ogos tahun lepas, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Aidilfitri.



-- BERNAMA

11 Julai 2013

SPRM PERLU ANJUR KURSUS TAKLIMAT SOP DALAMAN

Utusan Malaysia
10/7/2013



KUALA LUMPUR 10 Julai - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganjurkan kursus serta taklimat sebelum melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dalaman kepada seluruh agensi kerajaan.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah tersebut perlu berikutan ketidakfahaman dalam kalangan penjawat awam terhadap SOP dalaman itu akan hanya mengurangkan keberkesanan terhadap pelaksanaannya."Seringkali apabila dasar baharu diwujudkan, maklum balas daripada penjawat awam tidak memberangsangkan kerana mereka kurang jelas tentang kewujudannya.
"Pihak kami juga yakin cadangan ini berupaya memperkasa dan memelihara integriti sektor awam di negara ini, cuma pelan untuk membangunkan dasar baharu ini perlu dipertimbangkan secara terperinci," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Semalam SPRM melalui Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed mahu agensi kerajaan menetapkan SOP dalaman bagi mewajibkan pegawai yang ditawar rasuah melaporkan perkara berkenaan atau dikenakan tindakan tatatertib.
Prosedur tersebut bakal dilaksanakan untuk mewajibkan pegawai yang ditawar rasuah melaporkan perkara berkenaan atau dikenakan tindakan tata tertib jika gagal berbuat demikian.

10 Julai 2013

CUEPACS SERAH KERTA CADANGAN TAMBAH BAIK SKIM BADAN BERKANUN

Bernama
9/7/2013


PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama)-- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sudah menyerahkan kertas cadangan kepada pihak kerajaan berkaitan penambahbaikan skim gred penguatkuasaan badan beruniform.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata kertas cadangan itu diserah kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di pejabatnya Selasa.

"Cadangan penambahbaikan ini melibatkan sebanyak tujuh badan penguatkuasaan undang-undang yang terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan, Kastam, Bomba, Imigresen, Penjara, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan, yang keseluruhannya melibatkan seramai 120,000 orang," katanya.

Beliau berkata ia selaras dengan beban dan risiko yang dihadapi anggota badan beruniform ketika ini ini, dan sudah tiba masanya skim jawatan mereka dikaji semula serta dinaik taraf.

"Kita cadang seperti mereka berada di gred 17 sekarang dinaikkan ke gred 27 sampailah ke peringkat yang tertinggi, seperti jawatan ketua pengarahpun kita mahu ke gred yang lebih baik," katanya.

Osman berharap kerajaan dapat mempertimbang kertas cadangan itu sewajarnya dan meminta ia diselesai sebelum 31 Dis ini.

-- BERNAMA

09 Julai 2013

CUEPACS MOHON KERAJAAN PERTIMBA PEMBERIAN BONUS DUA SETENGAH BULAN UNTUK PENJAWAT AWAM


Bernama
9/7/2013


PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua setengah bulan kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa dan berharap permintaan ini akan dipertimbangkan.

"Melihat pada keadaan ekonomi semasa sekarang, pada kami permohonan pemberian bonus dua setengah bulan ini yang telah diputuskan semasa mesyuarat CUEPACS pada dua minggu lepas adalah sesuai," kata beliau dalam sidang media di sini Selasa.

Omar berkata pemberian bonus bukan sahaja khabar gembira buat 1.4 juta penjawat awam bahkan akan turut memberi kesan langsung kepada ekonomi negara apabila terdapat aliran tunai yang aktif di dalam negara.

"Namun begitu, saya berharap jika adanya pengumuman bonus kelak peniaga tidak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sesuka hati," katanya.

CUEPACS juga berharap agar skuad pengguna di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan terus membantu memantau harga barangan dalam pasaran, kata beliau.

Pada tahun lepas, kerajaan memberi bonus satu setengah bulan kepada penjawat awam dan pemberian bonus tersebut merupakan yang terbaik pernah diberikan oleh kerajaan setakat ini.

-- BERNAMA

08 Julai 2013

100,000 UNIT RUMAH DIRANCANG DI BAWAH PPA1M, KATA KSN

Bernama
7/7/2013


KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Sebanyak 100,000 unit rumah dirancang dibina di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik termasuk di bandar-bandar dan ibu kota untuk memperluas program itu.

"Selain Putrajaya, kerajaan akan mencari kawasan strategik di Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar termasuk Sabah dan Sarawak. Program ini akan dilaksana sebaik mendapat kelulusan pihak berkaitan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, bangunan pentadbiran dan kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama di sini Ahad.

Dr Ali berkata jumlah itu termasuk program PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, April lepas.

Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan keluasannya pula adalah antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi.

Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam.

Sementara itu, beliau berkata sambutan kakitangan awam terhadap PPA1M amat menggalakkan dengan program itu di Putrajaya menerima 105,000 permohonan.

Program PPA1M membabitkan kerjasama antara kerajaan dan swasta iaitu pembeli yang ditawarkan PPA1M tidak perlu membayar rumah mereka mengikut kemajuan pembangunan tetapi selepas projek siap sepenuhnya.

Pada majlis itu, Yayasan Usima menyumbangkan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah, Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang melengkapkan bangunan kantin baru dengan kerusi dan meja makan manakala Cypark Resources Bhd menyumbangkan sebanyak 20 panel solar bagi projek solar sekolah.

-- BERNAMA

06 Julai 2013

CUEPACS SARAN BINA RUMAH BAWAH RM250,000 UNTUK PENJAWAT

Bernama
6/7/2013


SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyediakan rumah kos sederhana berharga RM250,000 ke bawah untuk penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana kira-kira 45 peratus daripada 1.4 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana faktor harga.

"Kumpulan 45 peratus ini masih menyewa rumah dengan kadar RM800 ke RM1,500 sebulan walaupun ada yang sudah lima tahun berkhidmat. Sampai bila mereka nak menjalani kehidupan seperti ini (tidak memiliki rumah sendiri).

"Kita mahu ini (penyediaan rumah kos sederhana) dilaksanakan segera bagi membolehkan penjawat awam tinggal di rumah sendiri dengan selesa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan dan mesyuarat agung tahunan Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) di sini Sabtu.

Omar berkata langkah penyediaan rumah kos sederhana yang mampu dimiliki penjawat awam berpendapatan RM7,000 ke bawah secara tidak langsung boleh meningkatkan produktiviti dan prestasi kerja mereka.

Mengambil contoh Putrajaya, beliau berkata majoriti penjawat awam di pusat pentadbiran negara itu tidak memiliki rumah sendiri, sebaliknya hanya menetap di kuarters kerajaan.

Omar turut mencadangkan supaya Jabatan Perumahan Negara dipertanggungjawab menyediakan rumah kos sederhana berbanding pihak pemaju.

Beliau berkata pihaknya bersedia memberi pandangan dan kerjasama kepada kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan isu itu.

Mengulas mengenai bonus, Omar berharap kerajaan menimbang pemberian bonus dua setengah bulan kepada penjawat awam di seluruh negara seperti yang dicadangkan Cuepacs sebelum ini.

"Kita telah bawa cadangan pemberian bonus ini kepada kerajaan dan telah mendapat maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negera (KSN). KSN berkata terpulang kepada perdana menteri untuk memutuskan perkara ini.

"Apapun kita berharap penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji sebelum Hari Raya Aidilfitri dan selebihnya diumumkan perdana menteri pada pembentangan Belanjawan 2014, Oktober ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan khas dengan semua anggota di bawah Majlis Permuafakatan Kesatuan dan Persatuan Guru Kementerian Pendidikan bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesan penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah satu kementerian iaitu Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata hasil perjumpaan itu yang dijadual berlangsung September ini akan diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Omar menerima 17 resolusi daripada Presiden Kongres, Datuk Jemale Paiman untuk tindakan kerajaan persekutuan dan Kementerian Pendidikan, termasuk mewajibkan guru dan pensyarah yang mengajar subjek bahasa Melayu untuk mengajar mata pelajaran itu di semua peringkat termasuk sekolah vernakular tanpa kompromi ke arah memupuk keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Ia juga antara lain memohon supaya 27 Institut Pendidikan Guru dinaik taraf sebagai Universiti Pendidikan Malaysia yang berfungsi melahirkan graduan guru yang mempunyai Sijil Profesional Standard Guru Malaysia untuk mengajar di semua sekolah.

-- BERNAMA