SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

03 Disember 2014

PENJAWAT AWAM DIGESA LAPOR KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK MUNASABAH

Bernama
2/12/2014



JOHOR BAHARU, 2 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mahu 1.5 juta penjawat awam di negara ini melaporkan tindakan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) pada 1 April 2015 dengan menaikkan harga barangan secara tidak munasabah.
Katanya usaha ini dapat membantu usaha kerajaan memastikan agar rakyat tidak dibebani dengan harga barangan dan perkhidmatan yang tinggi selain tidak berlaku ketirisan dalam sistem percukaian tersebut.

"Penjawat awam perlu memainkan peranan dengan membuat aduan sekiranya berlaku kenaikan harga barang yang tidak munasabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah #myGST4U Negeri Johor yang dianjurkan JPA di sini pada Selasa.

Sementara itu, katanya, JPA telah meluluskan lebih 400 jawatan penguat kuasa baharu sebagai persediaan kerajaan mengawal kenaikan harga barang.

Mohamad Zabidi berkata pertambahan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu dibuat sebagai mengambil kira kepentingan rakyat yang bimbang akan kenaikan harga barang tanpa kawalan.

Beliau juga mahu agar penjawat awam memahami dan memberi perhatian kepada setiap perkara di dalam Bajet 2015 kerana mereka adalah pelaksana dasar bagi program yang digubal dan dirancang kerajaan.

Menurut beliau, sekiranya mereka menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, ia membawa kesan berganda yang boleh memberi impak besar kepada kefahaman dan pengetahuan mengenai dasar-dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan.

"Setakat ini, saya berpuas hati kerana rata-rata penjawat awam mempunyai pengetahuan yang baik berhubung CBP dan ini sememangnya akan membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasarnya," katanya.

Mengenai program itu, beliau berkata, ia merupakan kali kelima selepas diadakan di Perak, Sabah, Kedah dan Perlis sebelum ini sebagai satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memberi penerangan dan meningkatkan kesedaran penjawat awam berhubung pelaksanaan CBP.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: