SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** PEKERJA CEMERLANG RAKYAT SEJAHTERA***CUEPACS DI HATI KU***

31 Januari 2014

BERITA TAKZIAH

Media CUEPACS
31/1/2014


Berita Takziah

Dukacita dimaklumkan bahawa Sdra Rajali bin Sarip Penlong Setiausaha Gred Ekonomi dan Pertanian  Merangkap Presiden Kesatuan  Perhilitan Semenanjung Malaysia  telah kembali ke Rahmahtullah pada 30 Januari 2014  jam 10.30 malam dan telah dikebumikan pada 1 Febuari  2014 di Tanah Perkuburan Kg. Paya Dalam Melaka.

CUEPACS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah.

30 Januari 2014

TAMBAH MESIN HEMODIALISIS

Utusan Malaysia
29/1/2014



IPOH 29 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan supaya bilangan mesin hemodialisis di hospital kerajaan ditambah supaya penjawat awam termasuk orang ramai tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kemudahan tersebut.Presidennya, Azih Muda berkata, difahamkan hospital swasta juga tidak lagi berupaya menampung keperluan itu, malah ada mengutamakan pesakit yang hanya mempunyai insurans dan kad kredit.
"Penjawat awam tidak mampu pergi ke hospital pakar swasta. Di hospital kerajaan pula, ada yang datang pukul 6.30 pagi tetapi dapat rawatan 8.30 malam dan 1.30 pagi baru selesai. Tempoh menunggu lama yang sangat menyeksakan. "Orang sudah banyak melapor. Kasihan saya melihat. Sampai ada lama menunggu, apabila tiba masanya untuk rawatan hemodialisis, jantungnya terhenti disebabkan terlalu stres," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani, di sini hari ini.Sehubungan itu, Azih berkata, CUEPACS sedang dalam program turun padang ke hospital-hospital kerajaan bagi melihat sendiri permasalahan tersebut.
Malah, katanya, pihaknya turut mendapat laporan bahawa pesakit ditempatkan di koridor serta kaki lima hospital kerana kekurangan tempat.
Dalam perkembangan berkaitan, Azih berkata, CEUPACS mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu laluan khas bagi semua penjawat awam termasuk para pesara untuk mendapatkan perkhidmatan pesakit luar di hospital kerajaan.Menurut beliau, langkah itu dilihat wajar berikutan penjawat awam terpaksa kembali bertugas pada masa ditetapkan setelah mendapatkan rawatan di hospital.




CUEPACS GESA KERAJAAN PERCEPATKAN SEMAKAN SEMULA 100 SKIM KHIDMAT AWAM

Bernama 
20/1/2014




Kakitangan awam melayan pelanggan - Gambar HiasanIPOH, 29 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mempercepatkan perundingan dengan kesemua kesatuan pekerja terutama pembantu tadbir supaya penambahbaikan 100 skim yang diumumkan dapat diselesaikan segera.

Presidennya Azih Muda berkata kajian semula 100 skim perkhidmatan awam seperti yang diumumkan pada November lepas perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari sekarang kerana ia tidak melibatkan banyak implikasi kewangan.

"Cuepacs mahu kerajaan memberi perhatian serius dan ia perlu dipercepatkan kerana gambaran yang ada kepada penjawat awam berkenaan seolah-olah mereka terpinggir kerana semakan skim dibuat secara berasingan," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan anggota Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) di sini Rabu.

Beliau berkata Cuepacs akan mencadangkan kepada kerajaan supaya kesemua skim yang dikaji semula diberi penambahbaikan secara serentak supaya tiada isu berbangkit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam.

Golongan pembantu tadbir dalam perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan berjumlah kira-kira 200,000 orang telah menunggu terlalu lama untuk skim mereka diberi penambahbaikan, katanya.

"Kita tidak mahu lama sangat untuk ia diselesaikan kerana jurang dengan skim yang lain nanti akan lebih luas. Kita mahu kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selesaikan perkara ini sebelum Jun tahun ini dan tidak perlu menunggu sehingga pembentangan Bajet 2015," katanya.

Azih berkata Cuepacs juga mencadangkan supaya nama jawatan pembantu tadbir ditukar seperti kepada pegawai khidmat tadbir sejajar dengan inisiatif transformasi kerajaan serta sumbangan besar golongan itu dalam pentadbiran negara.

Pada 13 Jan lepas, Ketua Pengarah JPA Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata pihaknya sedang mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi kajian semula 100 skim perkhidmatan awam.

Katanya kajian penambahbaikan skim itu meliputi kumpulan penguatkuasa dan perkeranian dalam penyelarasan tangga gaji, syarat kemasukan dan juga kebajikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs akan mengadakan lawatan ke semua hospital kerajaan selepas mendapati institusi kesihatan awam itu sudah tidak mampu menampung jumlah pesakit yang kian bertambah pada masa sekarang.

"Kami mendapat maklumat ada pesakit terpaksa ditempatkan di laluan keluar masuk serta di kaki lima selain difahamkan penjawat dan orang awam terpaksa menunggu bagi tempoh yang amat panjang untuk mendapatkan rawatan hemodialisis," katanya.

Azih berkata terdapat penjawat awam sebagai pesakit luar pergi ke hospital pada pukul 6 pagi semata-mata untuk mendapat nombor giliran yang mula dibuka pada 8 pagi, keadaan itu sekaligus merugikan masa perkhidmatan penjawat awam itu kepada kerajaan kerana beliau perlu bekerja selepas menerima rawatan.

Situasi yang dialami hospital kerajaan akan bertambah membebankan apabila hospital swasta hanya mengutamakan pesakit yang mempunyai insurans perubatan serta kad kredit, katanya.



-- BERNAMA

PERCEPATKAN KENAIKAN GRED

Utusan Malaysia
29/1/2014



IPOH 29 Jan. - Kerajaan digesa mempercepatkan kenaikan gred kira-kira 200,000 pembantu tadbir di seluruh negara yang didakwa tidak disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) lebih 40 tahun lalu.Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, golongan pembantu tadbir kini ternanti-nanti akan pelaksanaan skim tersebut setelah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan persetujuan kerajaan untuk mengkaji semula 100 lagi skim perkhidmatan pada November tahun lalu.

"Kita tidak mahu perkara ini menyebabkan rasa ketidakpuasan hati yang berterusan. Mereka berasa kecewa, sebab itu CUEPACS minta perkara ini dipercepat sebelum Jun tahun ini. Tidak perlu tunggu sehingga pengumuman Bajet akan datang. "Hari ini pun kita dapat meredakan rasa kesal mereka untuk berhimpun di setiap negeri serta di Kuala Lumpur. Kita harap perhimpunan besar-besaran ini tidak berlaku dan mengesyorkan mereka supaya menyerahkan perkara ini kepada CUEPACS untuk berunding dengan kerajaan," katanya sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani (AUEGCAS), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azih berkata, CUEPACS turut mencadangkan agar semua semakan semula skim perkhidmatan awam dijalankan secara serentak, justeru tiada lagi isu berbangkit seumpama itu selepas ini.Malah, katanya, kerajaan harus memberikan pertimbangan khusus dalam hal tersebut kerana semakan skim itu tidak menyebabkan banyak implikasi kewangan. "Kalau boleh biarlah tiada lagi gelaran pembantu tadbir di Gred 17. Berilah nama baharu yang lebih bersesuaian selari dengan program transformasi negara seperti pegawai khidmat tadbir," katanya

21 Januari 2014

KERAJAAN JIMAT RM400 JUTA HASIL PERBELANJAAN BERHEMAT SEKTOR AWAM - KSN

Bernama
21/1/2014



PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM400 juta tahun ini hasil pelaksanaan 11 langkah perbelanjaan berhemat sektor awam.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata penjimatan itu juga dilihat sebahagian daripada sumbangan penjawat awam untuk negara.

"Langkah-langkah itu mencerminkan penjawat awam turut berkongsi impak pengurangan perbelanjaan bersama rakyat, selaras konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'," katanya semasa menyampaikan amanat KSN 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Isnin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan langkah mengurangkan perbelanjaan sektor awam pada akhir tahun lepas selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan berhemat pada 2014.

Langkah itu termasuk pemotongan elaun tol dan keraian bagi menteri dan timbalan menteri, pengurangan penggunaan tenaga elektrik di semua premis kerajaan serta pengurangan hidangan pada majlis rasmi.

Dalam sidang berita kemudian, Ali berkata kerajaan juga akan mempertimbang beberapa cadangan lain sebagai langkah berjimat.

"Kita akan kaji dari semasa ke semasa. Kementerian Kewangan dan kementerian lain akan membawa cadangan ini kepada Jawatankuasa Perancang dan Pembangunan Negara," katanya yang memberi jaminan langkah-langkah itu tidak mengetepikan kebajikan penjawat awam.

Beliau berkata hasil makluman balas penjawat awam, kerajaan mendapati mereka tidak mempersoal langkah penjimatan itu kerana menyedari ia mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Hadir sama dalam sidang berita itu ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah.

Beliau berkata Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan pekeliling berhubung langkah penjimatan dalam sektor awam itu termasuk panduan menjimatkan elektrik sebanyak lima peratus.

Berhubung laporan Ketua Audit Negara 2012, Ali berkata tindakan yang akan dikenakan kepada pihak terlibat akan diumumkan dalam masa terdekat.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 antara lain mengandungi 378 teguran termasuk 111 teguran untuk perkhidmatan awam persekutuan, 229 teguran untuk negeri-negeri dan 38 teguran badan berkanun.

Terdahulu, dalam amanatnya Ali turut menyentuh peranan penjawat awam untuk memperjelas dasar kerajaan kepada rakyat serta menangkis dakyah dan persepsi negatif pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam supaya tidak mudah terpengaruh dengan isu yang disebarkan dalam media sosial.

Ali kemudian melancarkan buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' bagi memperjelas prinsip dan nilai-nilai yang digariskan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

LANGKAH PENGURANGAN PERBELANJAAN CAPAI PENJIMAT RM400 JUTA

Utusan Malaysia
21/4/2014



ALI Hamsa (barisan depan, tengah) bergambar bersama kakitangan awam yang lain sambil memegang buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 Jan. - Sebanyak RM400 juta perbelanjaan awam dapat dijimatkan pada tahun ini ekoran pengumuman 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, beberapa langkah penjimatan lain akan diumumkan tidak lama lagi bagi mengukuhkan kedudukan fiskal dan mengurangkan bajet defisit negara.
Beliau berkata, langkah berkenaan mencerminkan penjawat awam turut berkongsi impak pengurangan perbelanjaan bersama selaras dengan konsep 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam'.

"Satu garis panduan pengurangan kos utiliti elektrik akan diumumkan tidak lama lagi dan insentif khas akan diberikan jika berjaya dikurangkan sebanyak lima peratus. "Langkah berhemat tersebut bagaimanapun tidak menyentuh soal kumpulan pelaksana perkhidmatan awam dan kebajikan mereka tidak akan diabaikan kerajaan," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah.

Perdana Menteri pada 30 Disember lalu mengumumkan 11 langkah bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam, termasuk mengurangkan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus, berkuatkuasa 1 Januari 2014. Menurut Najib, tindakan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan perbelanjaan yang lebih berhemah pada tahun 2014. Ali memberitahu, walaupun kerajaan menghadapi cabaran ekonomi, kebajikan dan nasib penjawat awam tetap dititikberatkan. 

Antaranya kata beliau, pengenalan elaun untuk bekerja lebih masa, penambahbaikan 81 skim perkhidmatan dan pelaksanaan Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M). Beliau dalam pada itu turut mengumumkan tindakan yang akan diambil terhadap salah laku penjawat awam ekoran Laporan Audit Negara pada hujung bulan ini.

"Jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan di peringkat kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan siasatan dan pendakwaan akan diambil terhadap mereka yang melakukan penyelewengan," katanya.

KONSEP MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM DIPERKENALKAN

Utusan Malaysia
21/4/2014
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.m
y



ALI Hamsa (tengah) melihat buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' selepas melancarkannya di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan, Mohamad Zabidi Zainal (kiri) dan Othman Mahmood. - UTUSAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 20 Jan. - Kerajaan memperkenalkan konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam yang akan diterapkan kepada 1.4 juta penjawat awam dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut menepati kehendak rakyat.Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, konsep itu merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan sebelum memasuki fasa Wawasan 2020 bagi menjadikan perkhidmatan awam sebagai perkhidmatan rakyat.
Beliau berkata, penjawat awam merupakan sebahagian daripada rakyat dan mereka lebih memahami kehendak dan keperluan masyarakat."Enam prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam seperti keterbukaan, turun padang, musyawarah, insaniah, kekitaan dan kerjasama bersama swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah satu pendekatan dalam mewujudkan penyampaian terbaik.
"Sudah pastinya kerangka baharu ini menjurus kepada bentuk perkhidmatan yang akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat," katanya ketika berucap dalam Majlis Amanah Bersama Ketua Setiausaha Negara, di sini hari ini.Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Othman Mahmood.
Beliau kemudian melancarkan buku 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam' yang akan dijadikan kerangka panduan penjawat awam ketika berurusan dengan rakyat.Antara salah satu prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah turun padang yang dilihat sebagai pendekatan berkesan untuk mengenal pasti isu dihadapi dan dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.
Sementara itu, Ali mengajak penjawat awam untuk berganding bahu dan berdiri teguh bersama kerajaan dalam memperkasakan agenda transformasi ke arah menjadi sebuah negara maju yang disegani di persada antarabangsa."Adalah diingatkan bahawa masa depan kian mencabar, maka kita tidak mempunyai pilihan selain harus bertekad pada saat ini untuk melakukan perubahan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
"Dalam soal ini, semua penjawat awam perlu memainkan peranan dalam menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan selain menjelaskan agenda transformasi kepada rakyat," katanya.


MENAGIH KOMITMEN JITU PENJAWAT AWAM LAKSANA DASAR, PROGRAM KERAJAAN

Utusan Malaysia
21/4/2014
SAMA ada hendak diakui atau tidak, ketika ini kerajaan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.Dalam masa sama, kerajaan juga bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi memastikan segala mandat yang diperoleh dalam pilihan raya umum lalu dapat dilaksanakan dengan jaya.
Tetapi sama ada pelaksanaan dasar atau program kerajaan itu berjaya atau tidak ia terletak kepada kira-kira 800,000 penjawat awam di seluruh negara. Di bahu merekalah terpikul amanah dan tanggungjawab untuk memastikan usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat akan terbela. Sebab itulah, komitmen jitu daripada penjawat awam amat diharapkan dan bukannya mereka sahaja mengharapkan ganjaran daripada kerajaan seperti kenaikan gaji, elaun mahupun bonus.
Perkara ini dibangkitkan kerana sehingga hari ini masih terdapat rungutan bagaimana ada penjawat awam yang tidak melaksanakan tanggungjawab dan amanah dengan berkesan atau bersungguh-sungguh. Ada antara mereka masih bersikap sambil lewa biarpun ada antaranya melibatkan pelaksanaan dasar-dasar penting kerajaan.Penjawat awam perlu memahami bahawa mereka nadi kepada kerajaan yang memerintah, jika mereka tidak menyempurnakan tugas dengan berkesan yang akan menanggung risikonya bukan sahaja kerajaan tetapi negara secara keseluruhannya.
Penulis difahamkan di jabatan-jabatan kerajaan tertentu masih ada penjawat awam yang begitu 'liat' untuk memastikan apa yang dibentang dan digariskan oleh kerajaan dalam soal memberi perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan sempurna.Kerajaan mempunyai dasar, program dan perancangan yang baik serta sempurna tetapi ia menjadi sia-sia apabila ada dalam kalangan penjawat awam mengamalkan sikap 'melepas batuk di tangga sahaja' apabila menjalankan tugas mereka.
Sememangnya kita tidak berasa iri hati terhadap apa juga yang diperjuangkan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi meningkatkan kebajikan penjawat awam tetapi biarlah ia berbaloi dengan ganjaran yang diterima. Sebab itulah, penjawat awam perlu mendengar nasihat Presiden CUEPACS, Azih Muda yang meminta kakitangan awam meningkatkan daya saing serta memberikan khidmat terbaik sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.Tetapi masalahnya penulis difahamkan masih terlalu banyak kelemahan di peringkat pelaksanaan oleh penjawat awam dalam melunaskan misi kerajaan. Malah di sesetengah jabatan atau kementerian ada pegawai kanan kerajaan yang merasakan dirinya lebih hebat daripada pak menteri.
Seorang anggota Kabinet pernah menceritakan kepada penulis bagaimana susahnya beliau hendak memastikan arahan yang dikeluarkan dipatuhi oleh pegawai kanan di kementeriannya. Ada sahaja alasan yang diberikan, kalau dilaksana pun ia mengambil masa berbulan-bulan biarpun melibatkan perkara kecil. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada penjawat awam begitu perlahan untuk memberi jawapan kepada anggota Kabinet terhadap sesuatu perkara yang dibangkitkan oleh media dan penting diketahui oleh rakyat. Menyentuh soal ini, adalah wajar selain melaksanakan tanggungjawab membela kebajikan penjawat awam, CUEPACS juga perlu rajin untuk mengadakan pertemuan dengan menteri bagi mengetahui situasi sebenar bagaimana penjawat awam di sesebuah kementerian melaksanakan tugas mereka.
Tujuannya bukanlah untuk mencari kesalahan sebaliknya memperbaiki kelemahan kerana harapan rakyat terhadap kerajaan terlalu tinggi apatah lagi apabila ia berkaitan dengan kehidupan harian mereka. Janganlah kerana sikap penjawat awam yang tidak komited dalam tugas mereka, akhirnya yang akan dihukum ialah kerajaan. Oleh itu masanya sudah tiba untuk semua pihak mengkaji secara teliti pelaksanaan tugas oleh penjawat awam, jika ada antara mereka sudah tidak mampu melaksanakan dasar, program dan arahan kerajaan maka 'tunjukkan pintu keluar' untuk mereka.

KSN LANCAR BIKU MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM

Bernama
21/1/2014


PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa melancarkan buku panduan ringkas Merakyatkan Perkhidmatan Awam(MPA) bagi memperjelas prinsip dan nilai-nilai yang digariskan di bawah usaha merakyatkan perkhidmatan awam.
Dr Ali berkata konsep itu diperkenalkan agar setiap penjawat awam menyedari bahawa mereka adalah sebahagian daripada rakyat dan sesungguhnya mereka lebih berupaya untuk memahami kehendak dan aspirasi rakyat.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan juga agar segala inisiatif yang telah direncanakan dapat diterjemah oleh setiap penjawat awam dengan berkesan dan disampaikan secara menyeluruh dan efektif kepada rakyat.

"Saya mahukan perkhidmatan cemerlang daripada anda semua, perkhidmatan cemerlang yang sama, yang anda harapkan sebagai seorang rakyat Malaysia," katanya.

Dalam kata-kata aluan buku berkenaan, Ali berharap panduan yang diberikan akan menjadi keutamaan bagi penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan serta dipraktikkan dengan sebaik-baiknya.

Buku itu dilancarkan pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara di sini Isnin.

Buku berkenaan terbahagi kepada beberapa tajuk iaitu 'Merakyatkan Perkhidmatan Awam', 'Kesejahteraan dan Kecemerlangan', 'Enam Prinsip Merakyatkan Perkhidmatan Awam', 'Perkhidmatan Awam Unggul Ke arah Merealisasikan Wawasan 2020' dan 'Pelan Tindakan Ke Arah Kecemerlangan dan Kesejahteraan'.

Enam prinsip dalam Merakyatkan Perkhidmatan Awam ialah keterbukaan - minda terbuka dan mudah didekati, turun padang, musyawarah, insaniah - keseimbangan antara rohani dan jasmani', kekitaan serta kerjasama awam-swasta dan badan bukan kerajaan (NGO)- perkongsian sumber dan kesepakatan.

Buku bersaiz poket setebal 27 muka surat itu diterbitkan oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Orang ramai dan penjawat awam yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai konsep Merakyatkan Perkhidmatan Awam boleh mengakses laman web rasmi ketua setiausaha negara di www.pmo.gov.my/ksn dan klik kepada ikon MPA booklet yang tertera.

-- BERNAMA

KAKITANGAN AWAM BOLEH BERSATU TANGANI ISU HARGA BARANG - AZLAN

Bernama
21/1/2014






KANGAR, 20 Jan (Bernama) -- Kakitangan awam sebagai sebahagian besar daripada kuasa pengguna boleh memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga sesetengah barang kini, kata Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Beliau berkata kakitangan awam juga boleh menjadi tenaga pengguna yang kuat untuk bersatu memastikan harga barang tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

"Saya percaya sekiranya tidak ada pembeli, akhirnya harga akan turun kerana kenaikan harga sesetengah barang banyak dimainkan oleh orang tengah semata-mata untuk memungut keuntungan berlebihan," katanya dalam dalam ucapan sulung tahun baharu 2014 perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di sini Isnin.

Menteri Besar berkata setiap kakitangan awam juga harus mempunyai inisiatif untuk menambah baik mutu kerja sempena kedatangan tahun baharu 2014.

Bagi mencapai maksud itu, mereka perlu bekerja secara berpasukan, supaya sesuatu yang sukar dilaksanakan akan menjadi lebih mudah, katanya.

Suatu yang penting yang perlu dielak para penjawat awam ialah ponteng kerja kerana amalan sedemikian akan menyebabkan kerja terbengkalai dan akhirnya menyusahkan rakyat, kata menteri besar.

Azlan turut mengaitkan isu perpaduan yang perlu ditangani dengan baik oleh setiap individu kerana tanpa perpaduan, keamanan negara akan mudah terancam dan kesannya akan menyusahkan rakyat sendiri.

Turut hadir pada majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Hamdan Bahari dan para anggota Exco negeri.

-- BERNAMA

PENJAWAT AWAM, PESARA KERAJAAN ANTARA PEMILIK PERMIS

Utusan Malaysia
21/4/2014




KUALA LUMPUR 19 Jan. - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) mendakwa kebanyakan penjaja yang menyewakan premis mereka kepada orang lain terutama warga asing terdiri daripada penjawat awam, pesara kerajaan dan 'individu-individu mempunyai hubungan politik'.Presiden CASSA, Datuk Dr. Jacob George berkata, golongan itu pada awalnya mendapatkan premis berkenaan namun akan menyewakannya untuk mendapatkan untung atas angin.
Pada masa sama, kata beliau, golongan itu meneruskan kerja harian sebagai penjawat awam, penerima pencen dan menjalankan perniagaan lain untuk meraih pendapatan utama mereka. Beliau mendakwa, lebih 60 peratus daripada penjaja di Lembah Klang menyewakan premis perniagaan yang disediakan kerajaan itu berdasarkan tinjauan berkala pihaknya terhadap beberapa premis termasuk pasar-pasar dan ruang-ruang niaga komersial."Penjajahan jenis baharu ini amat menyedihkan. Kita melihat kurangnya sikap bertanggungjawab kebanyakan golongan penjaja ini dalam meningkatkan mobiliti sosial kehidupan mereka.
"Apa yang mereka mahu adalah jalan pintas untuk mendapatkan duit. Akhir sekali yang maju bukan mereka tetapi warga asing, semuanya kerana mahu makan duit atas angin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada semua penjaja dan peniaga kecil supaya tidak menyewakan premis perniagaan mereka yang disediakan kerajaan kepada orang lain terutama warga asing. Katanya, mereka yang diberi peluang itu mesti bertanggungjawab dengan menjalankan sendiri perniagaan terutamanya yang mendapat bantuan daripada kerajaan.
Mengulas lanjut, Jacob berkata, dalam membendung perkembangan tersebut, kerajaan perlu proaktif dalam menubuhkan sebuah jawatankuasa terdiri daripada gabungan persatuan pengguna untuk memberi input serta cadangan berkesan. Beliau percaya, cadangan-cadangan bernas jawatankuasa itu akan dapat membantu kerajaan dalam hal terbabit terutama dalam mencari mekanisme terbaik memastikan penjaja menggunakan premis diberi setiap masa.
"Saya cadangkan kerajaan menetapkan tempoh masa tertentu untuk memantau premis yang diberikan itu, sekiranya disedari penjaja mempunyai kecenderungan menyewakan kepada orang lain, terus tarik semula premis terbabit," tegasnya. Perkara sama ditekankan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi yang kesal dengan tindakan penjaja tempatan tersebut.Beliau hairan kenapa golongan tersebut tidak boleh mengikis mentaliti 'mahu jadi bos' yang ternyata merugikan mereka sendiri."Kita perlu berubah. Jangan malas dalam meningkatkan taraf hidup sendiri," ujarnya.

18 Januari 2014

KERAJAAN LANCAR KAD PENGENALAN SERAGAM PENJAWAT AWAM

Bernama
16/1/2014

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan kad pengenalan seragam bersekuriti tinggi untuk semua kakitangan kerajaan sebagai langkah mengelakkan penyamaran dan pemalsuan dokumen pengenalan penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Anak Belaun semasa melancarkan kad itu di sini, berkata selain menyimpan data peribadi dan rekod penjawat awam, kad itu menggunakan teknologi ID forensik untuk mengelakkan kecurian dan pemalsuan identiti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata kad yang dibangunkan secara bersama oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan S5 Systems Berhad itu dilengkapi 35 ciri keselamatan dan menggunakan teknologi NexCode, Contactless Chip dan Biometric untuk mengesan identiti individu.

Kad itu juga mempunyai potensi untuk diperluaskan penggunaannya bagi urusan perniagaan dan perbankan pada masa depan, dan juga untuk mendapatkan keistimewaan khas penjawat awam seperti potongan harga penginapan hotel, katanya.

Joseph berkata kad itu kini digunakan oleh 650 kakitangan SPA, dan akan diperluas penggunaannya kepada kakitangan kementerian dan agensi lain secara berperingkat, terpulang kepada kesediaan mereka menggunakannya.

Joseph berkata kos untuk menyiapkan kad itu adalah RM15 sekeping dan mengambil masa kurang daripada 30 minit untuk disiapkan.

Katanya kad pengenalan diri yang digunakan kakitangan kerajaan kini berbeza antara kerajaan dengan kerajaan dan agensi dengan agensi.

"Buat masa ini pengeluaran kad dan dokumen berkaitan identiti penjawat awam ini tidak dikawal dan ia dapat dicetak dengan mudah. Tiada agensi khusus yang memantau.

"Ciri-ciri keselamatan yang digunakan di kebanyakan kad atau dokumen amat rendah dan boleh ditiru dengan mudah. Ini menyebabkan berlakunya kesukaran untuk mengecam dan mengesahkan identiti seseorang penjawat awam dan boleh membawa kepada masalah pemalsuan identiti dan dokumen," katanya.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.

-- BERNAMA

17 Januari 2014

RINGANKAN KOS SARA HIDUP

Utusan Malaysia
17/1/2014



RATA-RATA rakyat hari ini bercakap berkenaan kenaikan kos sara hidup daripada kedai kopi hingga ke rumah kenduri. Ini ekoran daripada rasionalisasi petrol dan diesel, gula, kadar baru tarif elektrik dan kenaikan tol serta tambang pengangkutan awam.Turut membimbangkan rakyat adalah pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April 2015. Tidak terkecuali para penjawat awam, terutama kumpulan rendah atau pelaksana juga terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.
Justeru, bagi meringankan beban sara hidup, dicadangkan supaya diteliti semula gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan bagi penjawat awam.
GAJI PERMULAAN
Gaji permulaan untuk jawatan Gred N11 adalah RM802. 

Mengambil contoh, seorang Pembantu Tadbir Gred 17 gaji permulaan adalah RM928 dengan kadar kenaikan tahunan sebanyak RM95.
Seandainya beliau masuk kerja pada usia 22 tahun, dalam tempoh lima tahun iaitu dalam usia 27 tahun gaji beliau RM1,403 mengambil kira kenaikan gaji tahunan RM95 setahun. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun kenaikan gaji hanya RM475.

Dalam usia pertengahan 20-an banyak perubahan besar akan berlaku kepada seseorang seperti berkahwin, dapat anak, keperluan kepada kereta dan rumah. Cuba fikirkan, dengan pendapatan sebanyak RM1,403 (belum masuk potongan) bagaimana untuk survive, lebih-lebih lagi hidup di kota besar.
Perkara ini menyebabkan ramai penjawat awam terjebak dengan pinjaman peribadi dan salah satu sebab kenapa masih ramai tidak mampu beli rumah.
Walaupun kini ada kenaikan pangkat secara time based, namun demikian seseorang yang dilantik ke Gred 17 dengan gaji permulaan RM928, akan naik ke Gred 22 setelah 13 tahun khidmat.
Beliau akan hanya mencapai gaji maksimum di Gred 22 iaitu RM4,233 dalam tempoh 30 tahun khidmat yakni hampir bersara. Realitinya, pada usia pertengahan 20-an hingga awal 50-an tanggungan seseorang amat banyak. Usia lingkungan ini adalah usia produktif dan dalam graf menaik dari segi kewangan.
Berbanding usia lewat 50-an iaitu hampir bersara, tanggungan agak kurang kerana ada anak yang telah bekerja. Tempoh gaji permulaan hingga gaji maksimum wajar dipendekkan daripada 30 tahun kepada 25 tahun. Walaupun mencapai gaji maksimum lebih awal, masih ada kenaikan tiga peratus setahun bagi mereka yang berada di gaji maksimum.
KENAIKAN GAJI TAHUNAN
Satu perkara lagi yang patut diteliti semula adalah kenaikan gaji tahunan khasnya bagi kumpulan pelaksana yang agak rendah berbanding kenaikan kos sara hidup.
Bagi kumpulan pelaksana 2, kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80 setahun. Kadar kenaikan gaji yang rendah tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi serta sukar dijangka.
Kenaikan kos sara hidup bukan hanya dalam perkara besar sahaja tetapi harus dilihat secara holistik melibatkan perkara kecil yang bukan barang kawalan seperti upah penjagaan anak, susu, lampin pakai buang, sabun pencuci, wang saku anak sekolah, tambang bas sekolah hingga bil telefon dan lain-lain semuanya mengalami kenaikan.
Sekiranya dua perkara tersebut iaitu gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan dinaikkan, sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi dan meringankan beban kenaikan kos sara hidup serta wujud lebihan tunai sekali gus meningkatkan kuasa beli.
Seiring dengan hasrat menuju negara berpendapatan tinggi serta sikap prihatin dan merasai denyut nadi rakyat, besarlah harapan kiranya pihak kerajaan dapat meneliti cadangan ini demi kebaikan penjawat awam.

KAD PEGAWAI KERAJAAN DIPERKENALKAN

Utusan Malaysia
16/1/2014


PUTRAJAYA 16 Jan. - Inisiatif memperkenalkan kad pegawai kerajaan merupakan usaha transformasi sektor awam yang bertujuan mewujudkan keseragaman identiti kakitangan awam bersekuriti tinggi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, penggunaan kad tersebut akan mengelakkan masalah pemalsuan identiti dan penyamaran menerusi pengesahan maklumat secara berpusat.
Katanya, penggunaan kad itu akan diperluaskan untuk urusan perniagaan dan perbankan serta keistimewaan perkhidmatan awam pada masa akan datang.
"Kad ini bukan sahaja menyimpan data peribadi penjawat awam tetapi dilengkapi jaminan keselamatan melalui penggunaan teknologi ID (identiti) Forensik bagi mengelak pemalsuan identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Menggunakan tiga teknologi terkini iaitu NexCode, Contactless Chip dan biometrik untuk mengesahkan identiti pemegang kad menerusi kaedah pengecaman dan pengesahan maklumat yang diuji keberkesanannya sebelum ini," katanya ketika berucap dalam majlis Pelancaran Kad Pegawai Kerajaan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

ZAINAL RAHIM TKP PERKHIDMATAN AWAM (OPERASI) JPA BAHARU

Bernama
15/1/2014




KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang baharu berkuat kuasa 13 Jan.
Menurut kenyataan JPA di sini Rabu, Zainal Rahim, 57, yang mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam menggantikan Datuk Dr Ismail Alias.

Dilahirkan pada 24 Ogos 1957, Zainal Rahim merupakan anak jati Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 9 Jan 1984 dan telah memegang beberapa jawatan penting dalam jabatan kerajaan.

Antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Ketua Penolong Pengarah di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang.

"JPA juga merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Ismail Alias atas sumbangan yang diberikan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

14 Januari 2014

SYOR LARANG MENGAMBIL PEKERJA ASING DI SEMUA RESTORAN

Berita Harian
13/1/2014



Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang menguatkuasakan larangan pengambilan pekerja asing di semua restoran dan bukan setakat restoran makanan segera bagi mengelak negara terus dibanjiri pekerja asing.

Presiden CUEPACS, Azih Musa, berkata ini berikutan ramai pekerja tempatan berkelayakan bekerja dalam sektor makanan masih menganggur akibat tindakan majikan mengutamakan pekerja asing.
“Pengambilan pekerja asing perlu dihadkan kerana jika kita terlalu membuka peluang kepada mereka akhirnya sektor itu akan dimonopoli oleh mereka dan bukan orang tempatan.


“Di hotel dan restoran keluarga contohnya, majoriti pekerja bukan pekerja tempatan. Adakah mereka tidak layak untuk bekerja? Sedangkan ramai mahasiswa jauh lebih berkelayakan tetapi tidak diberikan peluang. Majikan lebih mementingkan pengurangan kos tanpa memikirkan kesan jangka panjang,” katanya.

Sekat kemasukan

Beliau juga berkata, satu undang-undang perlu digubal bagi menyekat kemasukan pekerja asing.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (PIKAP), Datuk Zulkepley Dahalan, menyokong cadangan itu dan menyarankan pekerja asing dihadkan kepada sektor tertentu saja.
“Kerajaan wajar mempertimbangkan perkara ini dan pengambilan pekerja asing perlu untuk sektor perindustrian dan umpamanya saja.

Kita khuatir pengambilan pekerja asing secara berlebihan akan mengakibatkan populasi penduduk tidak seimbang.

“Kita bimbang jumlahnya melebihi penduduk tempatan sekali gus mengundang pelbagai masalah lain,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan sediakan nisbah yang boleh mengimbang pengambilan pekerja asing dalam industri pemakanan.

TAMBAH BAIK 100 SKIM: KAKITANGAN AWAM DIMINTA BERSABAR

Utusan Malaysia
13/1/2014




PUTRAJAYA 13 Jan. - Semua penjawat awam diminta bersabar menunggu keputusan kerajaan terhadap usaha menambah baik 100 lagi skim perkhidmatan melibatkan kira-kira 800,000 penjawat awam seluruh negara.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, kakitangan awam sebaliknya perlu meningkatkan daya saing serta memberikan khidmat terbaik sejajar dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, pada masa ini proses penambahbaikan tersebut masih di peringkat penelitian.
"Kita berjaya membuat penambahbaikan bagi 81 skim melibatkan seramai 613,782 kakitangan tahun lalu dan tidak mustahil 100 skim lagi yang dicadangkan akan diluluskan.
''Justeru, saya minta semua ahli supaya bersabar dan menumpukan kepada usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya dalam sidang akhbar di pejabat JPA di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai rombongan Exco CUEPACS mengunjungi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.
Kunjungan pertama kali itu dibuat selepas Azih dilantik sebagai presiden yang baharu pada Disember lalu menggantikan Datuk Omar Osman yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Pada 22 November tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa menyatakan sebanyak 100 skim perkhidmatan sudah dikenal pasti untuk dikaji mulai awal tahun depan.
Sementara itu, Mohamad Zabidi di dalam sidang akhbar yang sama berkata, pihak JPA ketika ini sedang mendapatkan maklum balas daripada CUEPACS berhubung penelitian semula 100 skim perkhidmatan berkenaan.
Beliau berkata, penelitian itu melibatkan beberapa perkara yang terkandung di dalam skim perkhidmatan antaranya syarat kemasukan ke dalam perkhidmatan, tangga gaji serta faedah.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, secara keseluruhan, kerajaan mempunyai 249 skim melibatkan 1.4 juta penjawat awam.
"Sebanyak 81 skim telah pun selesai melalui proses penambahbaikan (tahun lalu) antaranya membabitkan perkeranian dan penguat kuasa manakala 100 skim lagi sedang diteliti," ujar beliau.
Dalam pertemuan itu juga, beliau berkata, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengeratkan lagi kerjasama bagi memperjuangkan hak-hak kakitangan awam.
Selain itu, kata Mohamad Zabidi, mereka juga akan bersama-sama turun padang bagi memberi penerangan mengenai pelbagai isu termasuk kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan ketika ini.

JPA KUMPUL MAKLUMAN BALAS KAJIAN SEMULA 100 SKIM PERKHIDMATAN AWAM

Bernama
13/1/2014



 
 PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan bagi kajian semula 100 skim perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kajian penambahbaikan skim itu meliputi kumpulan penguatkuasa dan perkeranian dalam penyelarasan tangga gaji, syarat kemasukan dan juga kebajikan.

"Ini (kajian semula skim) masih dalam proses rundingan. Kami sedang membuat perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kesatuan dan persatuan sekerja lain.

"Saya berharap mereka yang terlibat bersabar agar kajian semula skim perkhidmatan awam ini dapat dilaksanakan dengan cara terbaik," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat barisan anggota Majlis Tertinggi Cuepacs sesi 2013-2016 yang diketuai Presiden Azih Muda di sini Isnin.

Dalam ucapan Bajet 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan bagi menarik dan mengekalkan modal insan terbaik dalam perkhidmatan awam, selain memantapkan fungsi perkhidmatan, menambah baik laluan kerjaya serta mobiliti pegawai awam.

Penambahbaikan 81 skim itu melibatkan 613,743 penyandang dengan peruntukan tambahan RM31 juta setahun.

Berikutan pindaan 81 skim perkhidmatan ini, kerajaan mengurangkan bilangan skim perkhidmatan yang sedia ada daripada 274 kepada 249 pada 1 Jan tahun ini yang merangkumi 1.4 juta penjawat awam.

Mengenai perjumpaan JPA dan Cuepacs hari ini, Mohamad Zabidi berkata pertemuan itu dapat mengeratkan hubungan dan jalinan kerjasama dalam memacu jentera perkhidmatan awam yang lebih mampan dan berdaya maju ke arah memenuhi agenda transformasi negara.

"Dalam pertemuan strategik ini, kami telah berjanji bersama melaksanakan dasar-dasar kerajaan dan juga menambah baik perkhidmatan-perkhidmatan awam untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih baik dengan adanya jalinan kerjasama antara JPA dan Cuepacs.

"Selain itu, JPA dan Cuepacs akan turun padang membantu kerajaan untuk menerangkan isu-isu dihadapi kerajaan pada hari ini khususnya dari segi kenaikan harga barang dan sebagainya," katanya.

Sementara itu Azih menyarankan penjawat awam yang belum terlibat dalam kajian penambahbaikan itu agar tidak panik dan tidak terlalu beremosi kerana proses itu dilakukan kerajaan secara berperingkat.

"Perkara ini sedang dilakukan JPA. Harap bersabar dan tidak terlalu beremosi. Kaedah perundingan dengan kerajaan adalah cara terbaik dalam menyelesaikan masalah ini," katanya.

-- BERNAMA

MISI CUEPACS 2014 BERAT

Sinar Harian

13 Januari 2014

JPA TERUS PERKUKUH HUBUNGAN BERSAMA CUEPACS

Media JPA
13/1/2014











KENYATAAN AKHBAR
PRESS RELEASE



YBhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berharap pertemuannya bersama Presiden Cuepacs dan  Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS bagi sesi 2013-2016 dapat mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin dalam memacu jentera Perkhidmatan Awam yang lebih mampan dan berdaya maju ke arah memenuhi agenda transformasi Negara.
Selain itu, pertemuan ini juga bertujuan untuk memperkukuh dan memperluas jaringan kerja dan kolaborasi strategik di antara JPA dan CUEPACS sejajar dengan matlamat  transformasi Perkhidmatan Awam ke arah berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat.
JPA sememangnya sentiasa peka dan mengambil berat mengenai isu-isu kebajikan yang dibangkitkan oleh pihak kesatuan mahupun CUEPACS. Harapan JPA  kepimpinan baharu CUEPACS akan  berkolaborasi bersama JPA  berlandaskan suasana perhubungan yang harmoni dan kondusif serta penyelesaian isu secara matang dan tenang. 
Pertemuan tersebut terdiri daripada Presiden serta 9 EXCO tertinggi CUEPACS dan semua Pengarah-pengarah JPA (termasuk Ketua Sekretariat TPA, KUAD dan PUU)


Pasukan Komunikasi
Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya
03 8885 3830/3088
13 Januari 2014