SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

15 Februari 2015

CUEPACS MOHON PENCEN DIBAYAR SEBAIK PESARA TAMAT PERKHIDMATAN

Bernama
14/2/2015



KOTA BAHARU, 14 Feb (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon supaya pembayaran wang pencen dibayar sebaik sahaja pesara menamatkan perkhidmatan berikutan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata pesara memerlukan wang pencen kerana mempunyai pelbagai komitmen termasuk membayar pinjaman perumahan.

"Sebaiknya seminggu selepas bersara terus dapat wang itu (pencen) kerana pesara memerlukan wang berkenaan untuk membayar pinjaman rumah dan lain-lain.

"Kami minta tindakan proaktif diambil oleh pihak berwajib dan kita harap proses ini dapat disegerakan dan diambil perhatian serius," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan bencana banjir kepada kakitangan awam di sini, Sabtu.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Azih berkata pesara pada masa ini hanya menerima wang pencen selepas tiga bulan menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

Justeru, beliau memohon kerajaan supaya melihat semula kaedah pembayaran wang pencen berkenaan bagi mengurangkan beban dihadapi penjawat awam yang telah kehilangan pendapatan selepas bersara.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan dapat memanjangkan lagi tempoh penurunan tarif elektrik kepada setahun.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini mengumumkan, pengguna di Semenanjung Malaysia akan menikmati penurunan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2.25 sen setiap per kilowatt-jam (kWj).

Sementara purata kadar tarif bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan diturunkan sebanyak 1.20/kWj berkuat kuasa 1 Mac hingga 30 Jun 2015.

-- BERNAMA

1 ulasan:

Unknown berkata...

Kajian semula perlu dilakukan terhadap umur persaraan dalam perkhidmatan awam yang dilanjutkan sehingga 60 tahun. Umur 60 tahun hanya sesuai kepada anggota jabatan di peringkat atasan sahaja. Ini adalah kerana anggota di peringkat bawahan banyak menggunakan tenaga dan otak untuk menjalankan tugas seharian sebaliknya anggota di peringkat atasan pula banyak memerah otak. Jika dilihat dari sudut kesihatan, sudah semestinya anggota di peringkat bawahan lebih mudah diserang penyakit dan keadaan kesihatan juga sering terganggu.Keadaan ini terbukti apabila pemeriksaan kesihatan umur 40 tahun dijalankan, banyak anggota bawahan yang berpenyakit. Jika berumur 40 tahun dah mula berpenyakit, cuba bayangkan untuk sampai ke umur 60 tahun, macam-macam gangguan kesihatan akan berlaku. Itu belum lagi dibuat pemeriksaan mental. Kerajaan akan mengalami kerugian sekiranya terus membayar gaji untuk anggota yang sakit datang bekerja tetapi tidak dapat menjalankan tugas rutin mereka dan terpaksa pula ditanggung oleh anggota lain. Kerajaan perlu memikirkan kaedah yang terbaik menangani masalah ini dan tanpa menganiaya anggota yang telah berkhidmat dengan kerajaan semasa keadaan sihat. Saya merasakan kerajaan perlu wujudkan pilihan untuk anggota bawahan berhenti atas sebab-sebab kesihatan dan mengeluarkan pencen serta merta. Kaedah yang diguna pakai sekarang adalah jika anggota bersara belum mencapai umur persaraan yang dipilih maka pencen hanya akan berjalan ketika umur persaraan telah mencukupi. Ini akan membebankan kepada anggota tersebut kerana mereka juga memerlukan wang untuk rawatan kesihatan selepas bersara pilihan.