SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

14 April 2015

CUEPACS CADANG BERI PILIHAN HAD PENGELUARAN WANG KEPADA PEKERJA

Bernama
13/4/2015


KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi pilihan kepada pekerja berhubung had umur pengeluaran wang.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pekerja harus diberi pilihan sama ada mengeluarkan wang simpanan mereka antara umur 55 hingga 60 tahun.

"KWSP tidak sepatutnya hanya melihat kepentingan wang yang diuruskan tetapi juga masa depan pekerja negara ini," katanya ketika dihubungi BERNAMA, Isnin.

Beliau ditanya mengenai cadangan KWSP yang sedang menimbang menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun.

Azih yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut berkata bukan semua pekerja akan bekerja sehingga usia 60 dan mereka juga memerlukan wang sebagai persediaan bersara pada usia 56, 58 atau 60 tahun.

"Had umur 55 tahun pada masa kini adalah bersesuaian dan kami harap ia dapat dikekalkan kepada semua pekerja sektor awam dan swasta.

Katanya, terdapat pelbagai faktor seperti kesihatan, gaya hidup dan jenis pekerjaan yang menyebabkan seseorang pekerja itu bersara awal daripada umur 60 tahun.

"KWSP tidak berhak menahan pesara daripada mengeluarkan wang mereka lebih awal dan jika pengeluaran wang dibuat pada umur hampir 60, akan ramai pesara yang sukar menanggung perbelanjaan harian dan menggunakannya untuk berbagai tujuan," katanya.

Bagi seorang bakal pesara, Mohd Jamil Daud, 55, langkah yang diambil oleh KWSP untuk menambah baik polisi sedia ada demi kepentingan rakyat amat dihargai namun ia haruslah dikaji semula daripada setiap sudut.

"Pesara sepatutnya berhak mendapat wang persaraan mereka apabila sudah bersara bagi memudahkan mereka membiayai kehidupan seharian.

Mohd Jamil mencadangkan pencarum menyertai kursus kewangan dan pelaburan sebelum usia persaraan sebagai persediaan menguruskan wang simpanan mereka.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memandang serius perkara berkenaan dan meminta KWSP mengekalkan had pengeluaran wang simpanan sedia ada.

Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut akan dibangkitkan pada Mesyuarat Persidangan Perwakilan UNI-MLC pada 25 April depan selain menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Situasi ekonomi semasa dan kos sara hidup tinggi menyebabkan rakyat perlu menguruskan kewangan dengan lebih baik selain mempunyai komitmen merancang masa depan sebelum bersara," katanya.

"Tempoh pengeluaran wang carumaan yang mahu diselaraskan oleh KWSP juga agak terlewat dan tidak relevan kerana kebanyakan pekerja pada usia itu memerlukan wang simpanan untuk pelbagai tujuan seperti perubatan, menjelaskan pembiayaan kewangan rumah, pendidikan anak-anak dan menampung kos sara hidup harian.

Katanya, pulangan diberikan KWSP pada ketika ini kepada pencarum adalah rendah (enam peratus) berbanding institusi lain seperti Amanah Saham Nasional (ASN), Lembaga Tabung Haji dan FELDA yang memberi dividen lebih banyak daripada KWSP.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya meminta KWSP mengkaji semula cadangan tersebut sekali gus tidak mengambil tindakan drastik tanpa memikirkan soal kebajikan pekerja.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU, Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) menyuarakan bantahan terhadap cadangan KWSP untuk mempertimbangkan penyelarasan umur pengeluaran simpanan pencarum dari 55 tahun kepada 60 tahun.

Pengerusi majlis itu, Zaidi Muda berkata umur 55 tahun adalah masa yang sangat sesuai para pekerja mengeluarkan simpanan mereka setelah sampai kepada umur persaraan.

"Wang ini boleh digunakan untuk menguruskan keluarga pencarum setelah bersara dan pastinya pendidikan menguruskan kewangan dapat membantu pesara merancang dengan baik.

KWSP tidak boleh menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang pencarum mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun kerana wang itu adalah simpanan dan hak pencarum," katanya kepada BERNAMA.

Zaidi berkata KWSP adalah antara tabung simpanan persaraan tertua dan terbesar di dunia dengan aset pelaburan RM636.53 bilion dan pekerja sangat mengharapkan wang simpanan mereka untuk menikmati usia dengan baik selepas persaraan.

"Jumlah ahli KWSP meningkat setiap tahun dan kini ia mempunyai 14.192 juta ahli dengan 6.659 juta ahli aktif. Ini sekali gus menyaksikan KWSP menerima caruman yang tinggi dengan mencecah RM4.76 bilion sebulan atau keseluruhan RM57.17 bilion pada tahun lalu," katanya.

--BERNAMA

Tiada ulasan: