Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ketika ini lebih 3,000 kakitangan awam Gred 11 di bawah pelantikan awal menerima gaji sebanyak RM832 hingga RM850 sebulan, sedangkan garis kemiskinan kebangsaan adalah pendapatan bulanan minimum RM880.
Katanya, kakitangan awam yang menerima gaji seperti itu kebanyakannya terdiri daripada pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Jika ikutkan CUEPACS, mahu kenaikan sehingga RM1,200 sebulan kerana keadaan ekonomi semasa semakin mencabar tetapi jika jumlah itu yang kerajaan mampu, kami tetap berterima kasih.
“Permohonan kenaikan gaji minimum ini bukan untuk mendesak tetapi adalah hak kakitangan awam yang selama ini bertungkus-lumus membantu merealisasikan dasar-dasar kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal hari ini berhubung gaji pokok baharu bagi 3,072 kakitangan awam Gred 11 pada hujung tahun ini.
Tambah Azih, pihaknya menggesa kerajaan supaya menubuhkan Majlis Perundingan Gaji Sektor Awam sebagai pendekatan terbaik dalam menyelesaikan sebarang isu berhubung pelaksanaan gaji minimum kakitangan awam.