SELAMAT DATANG KE BLOGSPOT CUEPACS

*** KUNJUNGILAH BLOGSPOT INI UNTUK MENDAPAT MAKLUMAT TERKINI*** CUEPACS DI HATI KU***Tema Hari Pekerja CUEPACS 2023 : PEKERJA BERINTIGRITI TUNJANG NEGARA MADANI*** SAMBUTAN HARI PEKERJA 1 MEI 2023

17 Disember 2015

KERAJAAN CARI JALAN KURANG KOS TAMBAHAN PROJEK PEMBANGUNAN MULAI 2016 -KSN

Bernama
16/12/2015


PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan mencari jalan untuk mengurangkan kos tambahan bagi projek pembangunan bermula tahun depan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata sesi percambahan minda dengan ketua setiausaha kementerian, ketua perkhidmatan dan ketua jabatan akan diadakan untuk mengoptimumkan perbelanjaan bagi tahun 2016 bagi setiap sektor kerajaan.

Mereka dikehendaki mengemukakan idea inovatif pada sesi berkenaan bagi mengatasi kelemahan dalam kebocoran perbelanjaan dalam sektor awam dan menjimatkan kira-kira 30 peratus kos perbelanjaan, katanya.

"Kalau ada projek lewat atau bertukar kontraktor, ia melibat kos yang tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam (AISA) 2015 di sini hari ini.

Ali berkata pembudayaan inovasi perlu sejajar dengan penerapan budaya 'cari dan bantu' dengan penjawat awam perlu lebih kerap turun padang dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat.

"Penawaran perkhidmatan ini perlu dilakukan agar kumpulan atau golongan sasar yang ingin didekati dapat dicapai dengan sebaiknya. Usaha sebegini dapat dijayakan sekiranya elemen dan budaya inovasi dapat dipraktikkan," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga telah mengenal pasti inovasi sebagai faktor penentu kejayaan dalam pengukuhan daya saing negara dalam mentransformasikan perkhidmatan awam melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Mengenai AISA, Ali berkata Anugerah Inovasi Pengurusan Sumber Manusia akan dilaksanakan mulai tahun hadapan sebagai satu daripada usaha untuk memantapkan struktur pengiktirafan inovasi dalam sektor awam.

AISA kini menghargai penghasilan inovasi dalam empat bidang pengurusan khusus iaitu Pengurusan Kewangan, Pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan dan Pengurusan Pentadbiran Daerah dan Tanah.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: