Azih Muda
Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan menimbang cadangan agar diwujudkan skim insurans bagi melindungi dan membela kebajikan penjawat awam.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, sejak akhir-akhir ini ramai penjawat awam meninggal dunia kerana berdepan dengan musibah, kecelakaan, kecederaan dan kehilangan keupayaan kekal semasa bertugas.
“Tetapi penjawat awam ini tidak mempunyai insurans pelindungan dan macam mati katak.
“Kita amat terharu apabila melihat ibu-ibu yang mengandung dan membawa anak kecil bila suami sudah tiada ada untuk menanggung kehidupan mereka sekeluarga.
“Justeru hari ini, CUEPACS ingin mencadangkan supaya kerajaan melindungi 1.5 juta penjawat awam dengan insurans di bawah Perkeso atau mana-mana syarikat insurans yang sedia ada,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-27 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersalaman bersama para perwakilan dan turut mengiringi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (dua kanan) dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda (kanan) semasa hadir pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 27 di Menara PGRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 19 DISEMBER 2016
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersalaman bersama para perwakilan semasa hadir pada Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke 27 di Menara PGRM, Cheras di Kuala Lumour hari ini.
Dalam pada itu, Azih berkata, Cuepacs turut menuntut kerajaan menyemak semula elaun kakitangan awam yang tidak disemak sejak 14 tahun lalu selain mewujudkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan.
Mengulas tuntutan itu, Zahid berkata, terdapat beberapa tuntutan yang dikemukakan Cuepacs itu adalah munasabah.
Beliau berjanji semakan semula elaun kakitangan awam akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini.
Ahmad Zahid berkata, tuntutan itu munasabah kerana elaun berkaitan tidak disemak selama 14 tahun.
“Saya akan ingatkan Menteri Sumber untuk membawakan kedua-dua tuntutan itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Rabu ini.
“Tuntutan Cuepacs agar kerajaan mewujudkan Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan untuk sektor awam juga akan dibincangkan pada mesyuarat tersebut.
“Saya fikir Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan mendengar permintaan ini dan apabila tiba masa akan memenuhinya.
“Tuntutan ini adalah munasabah dan saya akan bisikan kepada beliau nanti,” katanya. – MalaysiaGazette